JELEBU - YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jelebu di Dewan D'Sury Kuala Klawang hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Datuk Jalaluddin Alias, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim dan Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Ketua Pemerhati Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Mengulas lanjut, Zahid berkata beliau yakin pemimpin dan seluruh anggota UMNO di Johor akan terus mempertahankan negeri itu, yang merupakan negeri di mana UMNO dilahirkan, pada pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, beliau mahu seluruh anggota UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan supaya terus melipatgandakan usaha bagi memastikan kerusi Parlimen dan DUN ditambah manakala majoriti dipertingkatkan, sekaligus membolehkan majoriti dua pertiga dapat direalisasikan pada PRU14.
"Di Negeri Sembilan terdapat 36 kerusi DUN. Tahniah Menteri Besar (Datuk Seri Mohamad Hasan) kerana dapat 22 kerusi manakala 14 dimenangi pembangkang dengan DAP 11 kerusi dan PKR tiga kerusi.
"Apa yang berlaku dalam DAP, PKR dan Pakatan Harapan, saya nak nasihat Mohamad supaya bekerja lebih keras sikit untuk tambah kerusi DUN di negeri ini," katanya, sambil meminta agar kepimpinan UMNO dimantapkan bagi memastikan kemenangan.
Dalam pada itu, timbalan perdana menteri berharap konsep wala' (taat) kepada parti dan kepimpinan akan terus diperkasa dan dihayati oleh semua anggota, demi memastikan parti terus kukuh.
"Walau kita dilanda krisis daripada luar, dengan kepimpinan (Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri) Najib Tun Razak, kita akan terus berusaha untuk menambah kerusi," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata pihaknya akan mempertimbangkan permohonan UMNO Bahagian Jelebu untuk mendapatkan sebuah masjid daerah baharu yang mampu menampung 1,500 jemaah pada satu-satu masa serta lebuh raya dari Kuala Klawang ke Hulu Langat.
"Tapi ada syaratnya, iaitu mesti bagi naik majoriti DUN dan Parlimen Jelebu dan DUN Chennah (yang dimenangi DAP) dapat dirampas dalam PRU14," katanya.
Persidangan itu turut dimeriahkan dengan Jamuan Aidilfitri yang dihadiri kira-kira 8 ribu ahli UMNO dan penduduk sekitar.
0 comments:
Post a Comment