YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan tahniah kepada penerjun elit kebangsaan, Cheong Jun Hoong yang melakar sejarah, menjadi atlet Malaysia pertama meraih pingat emas pada Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest, Hungary pada Rabu (Khamis di Malaysia).
"Tahniah #cheongjunhoong! Juara dunia pertama #Negaraku dalam acara Platform Terjun Wanita di #FINABudapest2017," kata Perdana Menteri menerusi laman Twitternya, hari ini.
Penerjun berusia 27 tahun berasal dari Perak itu, yang merupakan gandingan Pandelela Rinong meraih pingat perak pada Sukan Olimpik 2016 di Rio, mencatat 397.50 mata dalam acara 10m platform individu wanita.
Bekas juara dunia, Si Yajie dari China, memenangi pingat perak dengan catatan 396.00 mata, manakala rakan sepasukannya, Ren Qian, yang meraih pingat emas Sukan Olimpik 2016 di Rio, menamatkan saingan di tempat ketiga selepas mengumpul 391.95 mata, menurut laman web rasmi Fina; www.fina.org.
Sementara itu, YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan Jun Hoong sebagai kebanggaan negara.
"Tahniah #cheongjunhoong juara dunia acara 10m platform wanita. Sejarah tercipta dan menjadi kebanggaan negara .Terima kasih atlet negara," katanya dalam laman Twitter beliau.
0 comments:
Post a Comment