KUALA LUMPUR, 21 Julai - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan urusan sesebuah koperasi demi memastikan kelancaran operasi, sekali gus memberi keuntungan kepada ahli dan pemegang sahamnya.
Timbalan Perdana Menteri berkata pada masa ini banyak pihak termasuk ahli politik yang berminat untuk menerajui koperasi memandangkan ia mempunyai prospek yang cerah.
"Mana-mana koperasi termasuk bank yang dikendalikan ahli-ahli profesional, jangan dipolitikkan, tidak campur politik tidak ada cucukan-cucukan politik.
"Jika ada orang politik sekalipun yang mengendalikan sesebuah koperasi tetapi tidak menyuntik unsur politik (ke dalam koperasi itu), saya yakin koperasi itu akan berjalan sebaik-baiknya dan memberi keuntungan kepada ahli-ahlinya," katanya semasa berucap pada majlis Sambutan Hari Raya Perdana Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) di sini malam ini.
Beliau berkata kepentingan ahli dan pemegang saham sesebuah koperasi perlu diutamakan mengatasi kepentingan politik dan peribadi seseorang.
Ahmad Zahid juga berharap sebuah lagi bank koperasi dapat ditubuhkan untuk memberi perkhidmatan perbankan kepada ahli koperasi dan rakyat.
Katanya selain Bank Rakyat yang telah berjaya menjadi sebuah bank, terdapat sebuah lagi koperasi yang kini memiliki aset yang besar dan boleh diangkat menjadi sebuah bank.
"Saya mengharapkan sebuah lagi koperasi yang yurannya besar, asetnya besar dalam masa terdekat diberikan lesen sebagai satu lagi bank koperasi di negara ini," katanya.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata Angkasa adalah contoh sebuah koperasi yang berkembang sehingga menjadi sebuah koperasi terbaik di peringkat ASEAN.
Dengan jumlah yuran mencecah RM14 bilion, memiliki aset sebanyak RM131 bilion serta perolehan hampir RM40 bilion, ia telah menjadikan Angkasa sebagai sebuah koperasi yang berprestasi cemerlang, kata beliau.
"Jumlah keanggotaan lebih 13,000 koperasi yang bergabung di bawah Angkasa dengan keanggotaan lebih tujuh juta menjadikan Angkasa contoh koperasi yang terbaik di ASEAN," katanya.
Pada majlis itu Ahmad Zahid turut melancarkan Model Bangunan Bersepadu Angkasa iaitu cadangan pembangunan Kompleks Angkasa di atas tanah berkeluasan 3.58 ekar (1.45 hektar) di tapak bangunan Wisma Ungku A.Aziz di Kelana Jaya, Selangor.
Pembangunan projek itu membabitkan pembinaan sebuah menara setinggi 30 tingkat dan dua menara 40 tingkat yang akan berfungsi sebagai ibu pejabat Angkasa, ruang komersil dan hotel lima bintang.
Kos pembangunan kasar projek itu membabitkan nilai sebanyak RM220 juta dan dijangka siap pada 2020.
-- BERNAMA
Home
»
»Unlabelled
» Jangan Politikkan Koperasi - Dr.Ahmad Zahid
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment