Menu
#



Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli UMNO supaya tidak terpedaya dan leka dengan analisis potensi kemenangan parti dibuat pembangkang. 

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden itu berkata, analisis berkenaan hanya agenda tersembunyi bagi membuatkan UMNO dan parti komponen selesa. 

"Kita jangan terjebak dengan analisis pembangkang yang menyatakan UMNO akan menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang. 

"Ini semua taktik pembangkang supaya kita terus selesa dan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi PRU-14," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Batu Pahat, di Dewan Jubli Intan, di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO serta Setiausaha UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday. Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya, turut meminta pemimpin UMNO yang tidak terpilih menjadi calon pada PRU-14 kelak supaya reda dan terus istiqamah dengan perjuangan UMNO. 

"Jangan terkejut jika ada ahli UMNO yang tidak memegang jawatan dalam parti terpilih jadi calon. 

"Seperti yang terbukti di Sungai Besar, Selangor, Kuala Kangsar, Perak dan Tanjong Datu, Sarawak, calon pilihan raya kecil yang dipilih menjadi calon tidak mempunyai jawatan tetapi tetap menang besar.

"Ia kerana faktor personaliti disukai dan faktor ini akan menjadi tunjang utama pemilihan calon PRU-14 selain faktor pasti menang," katanya.




0 comments:

Post a Comment

 
Top