Menu
#



Kerajaan tidak akan melanjutkan tempoh permohonan kad sementara (E-Kad) kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas tempoh permohonan itu tamat tengah malam tadi. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Jabatan Imigresen sudah beberapa kali memberi amaran kepada majikan supaya mendaftarkan PATI di bawah seliaan mereka sejak Februari lagi, justeru lanjutan program itu tidak wajar lagi dilakukan. 

"Walaupun hanya 23 peratus PATI yang sudah memohon E-Kad, tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1959/63 terpaksa dilakukan. "Kita tidak sekat mereka mencari rezeki yang halal di negara ini tetapi majikan dan pekerja harus bertanggungjawab. 

"Kita sudah beri tempoh secukupnya. Kalau ada persatuan majikan mohon lanjutan (program E-Kad), kita tidak akan lanjutkan," katanya. 

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria di sini, hari ini. Program E-Kad yang dilaksanakan sejak 15 Februari lalu hanya berjaya mendaftarkan 155,680 PATI sedangkan sasaran asal Jabatan Imigresen adalah 400,000 hingga 600,000 orang. 

Susulan tamatnya tempoh program itu, Jabatan Imigresen melaksanakan operasi besar-besaran mengesan PATI bermula tengah malam tadi. 

Sementara itu, Ahmad Zahid menafikan laporan agensi berita Jepun, Kyoto News bahawa Malaysia menghentikan pengeluaran visa kepada rakyat Korea Utara. 

"Tiada sebarang arahan dikeluarkan mengenainya," katanya.





0 comments:

Post a Comment

 
Top