Menu
#





BAGAN DATUK -  YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad jangan menjadikan UMNO seperti 'habis madu sepah dibuang' sebaliknya harus menghargai jasa parti itu kepada bekas Perdana Menteri itu dan keluarganya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jika Dr Mahathir terus membuka pekung pemimpin kerajaan yang ada sekarang, teraju kepemimpinan pada masa ini akan membuka pula aibnya sepanjang 22 tahun memerintah negara serta memimpin UMNO.

"Ingatlah jasa UMNO kepada kamu (Dr Mahathir), ingatlah kamu berada di situ (sebagai Perdana Menteri) kerana UMNO, jasa UMNO banyak ada pada kamu," katanya. Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini hari ini.


Beliau yang juga Ketua UMNO Bagan Datuk berkata, setiap pemimpin ada kelemahannya kerana sifat manusia itu sendiri adalah tidak sempurna dan Dr Mahathir yang selalu mengungkapkan 'Melayu mudah lupa' sebenarnya adalah mudah lupa.

"Isu BMF (Bumiputera Malaysia Finance), syarikat Perwaja (Steel Berhad) diselamatkan, syarikat MISC (Malaysian International Shipping Corporation) diambil alih oleh anaknya, PROTON ditubuhkan dan akhirnya rugi berbilion ringgit, kerugian FOREX berbilion ringgit....ini zaman siapa?" katanya.

Beliau berkata, setiap pemimpin juga ada zamannya dan kebiasaan yang baharu akan mengatakan pemimpin lama buat silap tetapi agak luar biasa di Malaysia apabila pemimpin lama sering menyalahkan pemimpin sekarang.

"Kalau dah pencen tu, diam-diamlah, lebih baik duduk berzikir...dulu kita jaga aib dia, kenapa dia nak buka aib orang," katanya. Beliau juga menyifatkan tindakan Dr Mahathir yang membuat pusingan u apabila menganggap Datuk Seri Anwar Ibrahim calon Perdana Menteri sebagai tindakan 'meludah ke langit terkena diri sendiri' serta menjilat ludahnya sendiri.






0 comments:

Post a Comment

 
Top