KOTA BHARU - YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi, tiba di Kompleks Yayasan Kemiskinan Ketereh (YKK) bagi menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Kehadiran luar biasa rakyat Kelantan pada program-program anjuran UMNO sekarang ini perlu diterjemahkan dalam bentuk undi kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14, sekali gus membolehkannya membentuk kerajaan dan memerintah negeri ini.
Tegas Zahid, mandat rakyat penting kerana kerajaan pimpinan BN berazam untuk memajukan negeri ini demi kemakmuran rakyat, yang tertinggal 27 tahun di bawah pemerintahan kerajaan PAS.
"Rakyat Kelantan bukan sahaja dahagakan pembangunan tetapi juga pengisiannya. Benar harus ada perimbangan duniawi dan ukhrawi, perimbangan fizikal dan rohani tetapi usaha memajukan rakyat juga adalah mustahak," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Melor, di sini hari ini.
Tegas Zahid, kerajaan persekutuan pimpinan BN sentiasa mengutamakan kemajuan rakyat walaupun parti itu menjadi pembangkang di Kelantan.
"Kerajaan persekutuan memperuntukkan jumlah yang besar iaitu RM12.7 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-11 untuk pembangunan Kelantan," katanya.
Beliau berkata kerajaan persekutuan juga memberi keutamaan pembangunan dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, agama, keselamatan dan sosioekonomi demi kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, Zahid menyeru anak-anak Kelantan yang berada di luar, kembali memberi sokongan kepada BN untuk mentadbir negeri ini.
Petang ini, YAB Timbalan Perdana Menteri akan menghadiri majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Dataran Rehal, Kota Bharu.
0 comments:
Post a Comment