Menu
#



Pemimpin pembangkang harus menghormati perlembagaan parti, bukannya membuat spekulasi dan menyalahkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) apabila tindakan dikenakan terhadap parti mereka. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ROS menjalankan tugas secara profesional dan mengikut perlembagaan parti terbabit sebelum sesuatu tindakan diambil termasuk membatalkan pendaftaran parti itu. 

"Jika perlembagaan parti mereka tidak diikuti oleh pemimpin mereka sendiri, ROS boleh bertindak mengikut perlembagaan yang mereka sendiri bentuk," katanya pada Majlis Kunjungan Mesra Gawai Dayak di kediaman Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Taman BDC Stampin, di sini, hari ini. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya DAP bakal dibatalkan pendaftarannya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berikutan barisan kepimpinan parti itu pada pemilihan lalu tidak diiktiraf. 

Beliau berkata, ROS ada menerima permohonan rayuan daripada pucuk pimpinan DAP termasuk Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang meminta supaya barisan kepimpinan yang dipilih pada pemilihan lalu diterima sebagai jawatan yang sah. 

"Permohonan itu sudah diteliti oleh ROS, bukan sahaja daripada aspek perundangan tetapi juga berdasarkan perlembagaan parti itu sendiri. Jadi, tidak timbul isu bahawa ada usaha untuk membatalkan pendaftaran DAP," katanya. 

Katanya lagi, beliau akan berjumpa dengan Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah, minggu depan bagi mendapatkan ulasan untuk memuktamadkan keputusan rayuan yang dibuat oleh pemimpin DAP. 

"Saya berharap ROS akan membuat laporan bertulis kepada saya berhubung perkara itu dan saya juga berharap spekulasi dihentikan sehingga ulasan dan keputusan rasmi dibuat oleh ROS," katanya.





0 comments:

Post a Comment

 
Top