Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakhiri kunjungan mesra sempena perayaan Gawai dan Aidilfitri di kediaman Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, malam ini.
Beliau tiba di kediaman Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu di Jalan Casuarina di sini pada jam 7.50 malam.
Beliau yang diiringi Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg kemudiannya diraikan pada majlis ringkas di kediaman Awang Tengah. Ahmad Zahid berada di negeri ini sejak petang semalam untuk menghadiri Majlis Kunjungan Mesra terhadap pemimpin utama Sarawak.
Sebaik tiba di Kuching malam semalam, beliau mengunjungi kediaman Abang Johari di Sri Minangkabau, di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakob, Petra Jaya. Pagi tadi, beliau meneruskan kunjungan ke kediaman Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing di Jalan Laksamana Cheng Ho.
Selepas itu beliau menghadiri jamuan makan tengah hari di Astana Negeri bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.
Selesai majlis di Astana Negeri, beliau mengunjungi kediaman Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Taman BDC Stampin.
Malam semalam, Ahmad Zahid sempat menziarahi jenazah bekas Menteri Muda Hal Ehwal Islam Sarawak, Allahyarham Datuk Daud Abdul Rahman yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Timberland pada jam 4.35 petang. Beliau dijadualkan pulang ke Kuala Lumpur pada jam 8.30 pagi esok.
0 comments:
Post a Comment