Menu
#






Menghulurkan tangan membantu golongan kurang bernasib baik berupaya menyemai 'benih' detik perpaduan dalam kalangan rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, nilai yang turut dipupuk menerusi sukan itu adalah pemangkin terbaik untuk menjamin keutuhan silaturahim masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Saya suka lihat Malaysia yang bukan saja makmur, harmoni dan bersatu, tapi juga kegembiraan di wajah rakyat merangkumi pelbagai latar belakang.

"Kita boleh wujudkan detik yang berupaya mengukir berjuta senyuman menerusi sikap saling membantu tanpa mengira warna kulit, agama dan kepercayaan.



"Membantu orang yang memerlukan juga adalah detik perpaduan, selain bakal mendapat ganjaran berlipat kali ganda jika ia dilakukan tanpa mengharap balasan," katanya pada ucaptama majlis pecah tanah Rumah Perlindungan Warga Emas Ti-Ratana, hari ini.

Yang hadir, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Turut memeriahkan majlis adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz; aktivis kemanusiaan, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Paderi Tertinggi Malaysia merangkap Penaung Persatuan Kebajikan Ti-Ratana, Datuk K Sri Dhammaratana.

Pembinaan rumah perlindungan lima tingkat dianggar bernilai RM12 juta itu terletak di Desa Petaling, di sini dan dijangka dapat menempatkan sehingga 180 warga emas.


Hasil sumbangan pelbagai pihak, kira-kira RM4 juta diraih untuk menampung kos pembinaan rumah merangkumi luas kawasan 1,533 meter persegi berkenaan, sejak kempennya dilancarkan Perdana Menteri pada 2012.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menyalurkan RM1 juta untuk menampung kos pembinaan rumah perlindungan warga emas itu sebelum ini.

"Hari ini, saya tambah dana dari kerajaan bernilai RM1 juta supaya rumah yang bakal memanfaatkan golongan kurang berkemampuan dan warga emas ini berupaya dibangunkan".

"Saya berharap orang ramai yang berkemampuan tampil menyalurkan sumbangan kerana projek ini untuk manfaat bersama," katanya.



0 comments:

Post a Comment

 
Top