Menu
#





BAGAN DATUK - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diminta supaya menjaga mulut dan tingkah lakunya yang kini dilihat sering memburuk-burukkan kepimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden UMNO, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sepatutnya Dr M perlu mempunyai tatasusila dan ketertiban serta akhlak politik dalam berpolitik.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata sebagai manusia biasa, Dr Mahathir sudah tentu ada kelemahan dan kesilapan sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri namun semua itu ditutup demi menghormatinya.

"Bila zaman kita berlalu, biarlah berlalu, biar sejarah menilai, jangan mengutuk orang lain bagaimana kegagalan sistem penswastaan. Kita tidak mahu membuka pekung itu dan kita tahu apa yang beliau lakukan dengan pelbagai kelemahan yang kita tahu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini hari ini.

Tegas Zahid, tindakan Dr Mahathir mengkritik UMNO dan kerajaan sudah melampaui batas sehingga Perdana Menteri hilang sabar.

"Zaman beliau (Dr Mahathir) sudah berlalu, duduk diamlah-diamlah. Duduklah berzikir. Beliau buka aib pemimpin sekarang, jangan lupa kita juga pernah tutup aib beliau. Jangan sampai kita pula buka aib dan pekung beliau. Macam-macam kita boleh buka.

"Dia (Dr Mahathir) kuat (pada zaman pemerintahannya) bukan kerana dia, tetapi orang-orang UMNO yang kuat menyokong dia," katanya.

Zahid juga menyentuh tindakan Dr Mahathir yang membuat pusingan-U dengan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan dahulu, Dr Mahathir yang menyingkirkan Anwar daripada arena politik.

"Sekarang baru dia nak buat 'kona baring'. Dulu dia tuduh Anwar macam-macam, sekarang dia kata Anwar dizalimi disebabkan perbezaan pendapat politik dan tidak mahu Anwar di gelanggang politik,"

Malah semasa ucapannya itu, Zahid turut menyeru prinsip 'habis madu sepah dibuang' tidak diamalkan di kalangan pemimpin akan datang.

"Pemimpin baharu hormatilah pemimpin lama dan pemimpin lama perlu menyayangi pemimpin baharu dan prinsip habis madu sepah dibuang perlu dielakkan demi kelangsungan parti," katanya.



1 comments:

  1. Zahid sedang buka aib umno bn. Di sini jelas org umno bn hanya jaga pemimpin mereka bukannya jaga negara dan rakyat. Dah jelas, klu tau dulu Tun M banyak aib kenapa tak tentang dan bersuara demi kebenaran dan tanggungjawab kepada amanah rakyat. Sekarang Tun M tak ada kuasa baru nak buka mulut. Jadi maknanya najib banyak buat salah dan keje orang umno pertahankan jelah pemimpin mereka. Jadi mereka nilah tak jaga amanah rakyat tapi jaga pemimpin mereka. Jd eloklah umno bn dibakul sampahkn sbb mereka bukan bekerja untuk rakyat tapi untuk najib sahaja.

    Aku rasa zahid menyesal buat ucapan ni yang mengetuk kepala sendiri.

    ReplyDelete

 
Top