Kerajaan menawarkan ganjaran RM100,000 kepada wakil negara yang merangkul pingat emas dalam Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) di Abu Dhabi, Oktober ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ganjaran itu sebagai galakan semangat kepada peserta melakukan yang terbaik, selain komitmen kerajaan dalam membangunkan bidang kemahiran tinggi negara.
"Mana-mana peserta yang dapat pingat emas, kerajaan akan 'top up' dengan RM100,000. Kalau dapat dua (emas) lagi baik, dapat lima pun kerajaan akan bagi. "Ini motivasi yang saya berikan kepada peserta.
Kita mesti berada dalam kelas dunia," katanya berucap merasmikan 'Road to World Skills Abu Dhabi 2017 Gold' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Pengerusi Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib.
WSC adalah pertandingan peringkat antarabangsa disertai belia bagi mencari peserta terbaik dalam bidang masing-masing. Malaysia akan menyertai WSC ke-44 pada 14 hingga 19 Oktober ini di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dengan 20 daripada 51 bidang kemahiran akan disertai negara kali ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pendidikan Tinggi, sentiasa fokus dalam meningkatkan jumlah pekerja berkemahiran tinggi.
Malah, katanya, kerajaan mahu Malaysia menghentikan pengambilan pekerja mahir dari luar negara pada satu masa akan datang dan diganti dengan pekerja berkemahiran tinggi tempatan.
0 comments:
Post a Comment