Menu
#




Kota Kinabalu - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menziarahi bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Penampang, Mansur Ahbidin di rumahnya di Kampung Tobobon, Manggatal dekat sini.

Kemudiannya Ahmad Zahid yang diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman turut menziarahi Ketua Kampung Tobobon, Laiman Ginturung yang kini lumpuh separuh badan.

Bercakap kepada pemberita selepas kunjungan itu, Mansur, 70, berkata, beliau sangat gembira dan bangga kerana timbalan perdana menteri berbesar hati untuk meluangkan masa melawat beliau dan penduduk di kampung berkenaan.

"Ini adalah hari yang sangat bersejarah bagi kami penduduk di kampung ini. Kami sangat beruntung... kami berharap beliau (Ahmad Zahid) dapat melihat segala kekurangan yang boleh ditambah baik di sini.

"Kami berharap kemudahan utama iaitu jalan masuk ke kampung ini dapat dinaik taraf dengan segera untuk keselesaan penduduk khususnya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tobobon," katanya.

Mansur berkata, UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) banyak membawa kemajuan dan harapan kepada rakyat sejak memerintah.

"Oleh itu kita perlu berterima kasih dan berbangga kepada UMNO yang merupakan satu-satunya parti yang sentiasa menjamin kemakmuran masyarakat Islam dan Bumiputera.

"Rakyat di negara ini sangat beruntung dengan adanya kerajaan pada masa ini yang terus mempertahankan keharmonian negara. Oleh itu saya berharap kerajaan BN terus diberi mandat untuk memerintah," katanya. - Bernama



0 comments:

Post a Comment

 
Top