Sipitang - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan buku Anggota Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad berjudul 'Perjuangan Menata Masa Depan' sempena perasmian Karnival Antarabangsa Gasing dan Tamu Besar (Gata) di sini hari ini.
Perasmian buku setebal 266 halaman yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman itu adalah kompilasi teks ucapan terpilih Sapawi, selain sebagai Anggota Parlimen juga sebagai Pengarah Yayasan Sabah .
Selain himpunan teks ucapan, buku yang ditampilkan dengan kulit tebal dan berjaket itu turut memuatkan biodata ringkas Sapawi serta beberapa gambar aktiviti manakala penerbitannya diselenggarakan oleh Ketua Pengarang Utusan Borneo merangkap Ahli Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Lichong Angkui.
Sapawi yang pernah menjadi guru sejarah sebelum berkecimpung dalam politik sebelum ini menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin sejak 1994 dan mengekalkannya selama tiga penggal berturut-turut, sebelum beralih ke kerusi Parlimen pada 2008.
Beliau pernah berkhidmat di bawah tujuh Ketua Menteri sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Pembantu Menteri Belia dan Sukan dan Pembantu Menteri Kewangan, selain sebagai Pengerusi Sabah Land Development Board (SLDB) sebelum dilantik sebagai Pengarah Yayasan Sabah pada 1 Julai 2013.
Buku itu turut menceritakan secara ringkas, pengalaman menarik Sapawi bekerja di bawah tujuh Ketua Menteri yang berlainan latar belakang dan karektor.
"Kita harus bijak menyelami hati 'bos' dan pandai membaca 'mood' mereka," katanya ketika ditanya tentang rahsia atau petua boleh kekal dan disayangi oleh sekian ramai Ketua Menteri yang silih berganti.
Sapawi menambah:"Tetapi yang lebih penting, kita harus 'work hard and work smart' dan bekerja sebagai satu pasukan dengan setiap kerja atau usaha yang kita lakukan itu menuju ke arah penyelesaian masalah. Ini prinsip saya dalam bekerja, baik untuk pemimpin mahupun rakyat."- Bernama
0 comments:
Post a Comment