Menu
#



SEPANGGAR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sikap pembangkang menjelang pilihan raya seperti kelawar yang hanya muncul apabila tiba musim buah dan hilang sejurus musimnya tamat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sifat kelawar yang banyak kelihatan pada musim buah sama seperti pembangkang iaitu hanya muncul ketika pilihan raya semakin hampir, namun lenyap sejurus selesai.

Katanya, ia berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan pendekatan berkhidmat sepanjang masa tanpa mengira sama ada pilihan raya atau tidak, sejajar komitmen untuk membela nasib rakyat.

"Mereka (pembangkang) boleh jadi kelawar politik pada musim buah tetapi BN setiap musim, tidak kira ada pilihan raya atau tidak kita tetap ambil peduli rakyat dan ia bukan komitmen seorang, malah Perdana Menteri juga meletakkan komitmen sama," katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan (SK) Tobobon, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad dan Pemangku Ketua UMNO Sepanggar, Datuk Yaakub Khan.

Ahmad Zahid berkata, BN berpegang kepada prinsip kesinambungan usaha dan tidak terbatas untuk mendapatkan sokongan menjelang pilihan raya, malah khidmat kepada rakyat diteruskan sepanjang masa.

Sementara itu, beliau menyifatkan tuduhan pembangkang mengatakan kononnya Kerajaan Pusat zalim apabila hanya memberikan lima peratus royalti minyak kepada Sabah, manakala baki 95 peratus dibolot Kuala Lumpur, sebagai fitnah.

"Jangan salah kira, apa yang diputuskan lima peratus itu adalah setelah dikira kos pengeluaran dan lain-lain kos untuk cari gali, bukan 95 peratus diambil Pusat atau masuk poket Perdana Menteri," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri yakin BN mampu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam yang jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan mengekalkan kerusi DUN Karambunai serta Parlimen Sepanggar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, BN sudah merangka formula untuk merampas semula Inanam menerusi kerjasama semua parti komponen.

"Kita ada formula, iaitu mesti satu padu, dulu cerita lama, ini buku baharu BN, kita bersatu hati, kerja dalam satu pasukan untuk rampas semula kerusi Inanam dan tingkatkan undi di Karambunai dan Sepanggar," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid meluluskan peruntukan membina dewan terbuka dan surau SK Tobobon, selain menaik taraf pagar dan padang sekolah serta bangunan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kampung Tobobon.




0 comments:

Post a Comment

 
Top