Semangat Cintakan Negara Perlu Lahir Dari Jiwa, Bukan Paksaan - Zahid
Semangat sebagai rakyat Malaysia perlu lahir dari lubuk hati setiap warganegara dan bukannya secara rela paksa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata pada masa sama semangat tersebut bukan hanya terpupuk secara rasmi tetapi juga secara tidak rasmi.
Kita tahu bahawa sebagai rakyat Malaysia kita harus berkongsi dalam pelbagai perkongsian, sukacita dan kesedihan untuk apa juga perkara yang berlaku dalam negara.
Peristiwa di Lahad Datu (pencerobohan pengganas Sulu) memberi kecintaan yang mendalam seluruh rakyat malah kita tahu parti pembangkang pun setuju kedaulatan negara harus dipertahankan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspresi Negaraku peringkat Kuala Kangsar yang dihadiri kira-kira 10,000 orang di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia terbukti amat ketara semasa berlaku konflik antara Malaysia dan Korea Utara berikutan kes pembunuhan seorang lelaki warga negara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) baru-baru ini.
Timbalan perdana menteri menegaskan prinsip di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung perlu menjadi pegangan setiap rakyat di negara ini tanpa mengira latar belakang politik.
Semangat kekuatan, kebersamaan ini mesti dibentuk biarpun berlainan latar belakang agama dan budaya. Perbezaan itu tidak harus kita layani, katanya sambil menambah ia penting ke arah mencapai hasrat negara maju menjelang tahun 2020.
Mengenai program Ekspresi Negaraku di sini, Ahmad Zahid menyifatkannya sangat meriah sekali gus berasa berasa bangga serta teruja sebagai anak Perak.
Sejak program ini dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac lalu di Putrajaya, Kuala Kangsar merupakan lokasi ketiga selepas Sungai Petani, Kedah. Ia (di Kuala Kangsar) tidak kurang hebat, katanya. -Bernama
0 comments:
Post a Comment