Menu
#




Kota Kinabalu - Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata lawatan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Sabah membuktikan bahawa kerajaan pusat sentiasa prihatin terhadap rakyat di negeri ini.

Beliau berkata lawatan timbalan perdana menteri itu juga membuktikan dakwaan pihak pembangkang yang menyatakan kerajaan persekutuan tidak mempedulikan atau menganaktirikan Sabah tidak betul dan fitnah semata-mata.

"Semua pemimpin Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin terhadap rakyat Sabah...kalau ada pembangkang atau orang-orang tertentu menyatakan Sabah tidak dipedulikan...itu cuma satu pembohongan besar.

"Oleh itu bagi pihak rakyat Sabah saya ingin mengucapkan banyak terima kasih kepada timbalan perdana menteri kerana tidak jemu-jemu datang ke Sabah kerana keprihatinan beliau demi membela rakyat, sekali gus membantu mencari jalan untuk terus membangunkan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat Parlimen Sepanggar yang dihadiri Ahmad Zahid , di Sekolah Kebangsaan Tobobon, Menggatal, dekat sini, hari ini.

Hadir sama Pemangku Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Yakub Khan dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai.

Justeru, Musa meminta agar rakyat Sabah terus bekerjasama dan bersatu padu menyokong kerajaan pada masa ini yang terus memberi pertolongan untuk membangunkan Sabah.

Pada masa yang sama, beliau meminta rakyat Sabah untuk terus bersatu padu mempertahankan perpaduan untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian di negeri ini.

"Sabah adalah negeri yang sangat unik. Meskipun Sabah mempunyai rakyat berbilang kaum dan budaya serta agama yang berbeza, namun kita perlu teruskan kesepakatan untuk memastikan kestabilan negeri ini terus kukuh," katanya. - Bernama



0 comments:

Post a Comment

 
Top