SYDNEY: Malaysia dan Australia akan lebih komited dalam menangani jenayah rentas sempadan, termasuk menangani isu pendatang tanpa izin membabitkan kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata komitmen kedua-dua negara itu dilaksanakan menerusi program latihan kawalan sempadan, pertukaran maklumat risikan serta kerjasama lebih erat dalam menangani isu itu.
Beliau menemui pemimpin Australia dalam portfolio berkaitan bagi menjelaskan bahawa Malaysia bukanlah negara transit kepada pendatang tanpa izin, yang memasuki negara berkenaan.
"Malaysia juga berhadapan masalah pendatang tanpa izin. Ketika ini, terdapat 56,000 pendatang tanpa izin dari Myanmar (Rohingya)," katanya kepada pemberita Malaysia sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, malam tadi.
Dalam lawatan kerja itu, beliau membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull, selain bertemu rakan sejawatnya, Timbalan Perdana Menteri Australia, Barnaby Joyce.
Beliau juga bertemu Menteri Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia, Peter Dutton serta Menteri Kehakiman Australia, Michael Keenan dan Menteri Luar Australia, Julie Bishop.
Lawatan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri ke Australia sejak Ahad lalu bertujuan mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Australia, dengan menumpukan pada isu pendatang tanpa izin dan usaha membanteras jenayah rentas sempadan.
Beliau berkata, Australia juga berminat terhadap program deradikalisasi warga asing yang dilaksanakan Malaysia. "Malaysia turut bercadang untuk menghantar pegawai dalam agensi berkaitan bagi mempelajari modul Australia mengawal sempadan negara itu, terutama dalam mengekang kegiatan penyeludupan dadah, senjata dan pemerdagangan manusia," katanya.
Ahmad Zahid berkata, beliau menjelaskan Malaysia bersama negara jiran seperti Indonesia dan Thailand sangat komited dalam menangani isu jenayah rentas sempadan serta pendatang tanpa izin di rantau itu.
Malah, Malaysia juga akan memperkemaskan lagi piawaian prosedur operasi standard (SOP) agensi kawalan sempadannya.
"Integrasi keempat-empat agensi kawalan sempadan Malaysia iaitu polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia diperkemaskan bagi membanteras jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan," katanya.
0 comments:
Post a Comment