Menu
#



Rakyat di negara ini diseru untuk mengetepikan segala ‘kotak pemisah’ (perbezaan) antara etnik dalam usaha mencapai mobiliti sosial secara vertikal (menegak).

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu mampu dilaksanakan menerusi pendidikan, yang sekali gus boleh meningkatkan status sosial seseorang individu

Kata Timbalan Perdana Menteri, pendidikan merupakan mobiliti sosial vertikal yang berjaya mengubah nasib mereka yang dahulunya miskin, sehingga menjadi golongan profesional dan berjaya.

“Kaedah yang terbaik untuk mempertingkatkan status sosial seseorang adalah melalui bidang pendidikan. Tidak kira sama ada anda Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau lain-lain bangsa, pendidikan adalah keutamaan kerajaan untuk memberikan mobiliti sosial secara vertikal.

“Malah, pendidikan juga adalah faktor utama bagi mobiliti sosial vertikal dan ini seterusnya dapat memastikan negara mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencorakkan masa depan negara ke arah lebih baik pada masa hadapan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-35 Sri Murugan Centre (SMC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. M. Loga Bala; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K Devamany; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan; Pengasas dan Pengarah SMC, Tan Sri Dr. M. Thambirajah serta Pengarah Bersama SMC, A. Prakash Rao.

Dalam majlis sambutan itu, Ahmad Zahid turut berjanji kerajaan akan menyumbang seba­nyak RM3 juta kepada institusi berkenaan yang berperanan me­lahirkan gra­duan India cemerlang di negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada sistem pendidikan dalam kalangan negara maju yang me­ngetepikan mana-mana kumpulan masyarakat tertentu.

Selain itu, katanya, komitmen pemimpin-pemimpin negara ini dari terdahulu hingga sekarang dalam bidang pendidikan juga telah berjaya membentuk golo­ngan berpendapatan pertengahan.

“Dulu masyarakat kita terbentuk secara piramid, yang mana golongan kaya terlalu sedikit dan miskin yang banyak.

“Namun kejayaan kerajaan di bawah kepimpinan perdana menteri-perdana menteri sebelum ini sehingga kini (Najib) telah menukar piramid kepada bentuk ‘diamond’ (berlian) yang mana kumpulan pendapatan pertengahan lebih besar daripada golongan elit. Inilah kejayaan yang digunakan kerajaan menerusi sistem pendidikan untuk membentuk masyarakat kelas pertengahan,” katanya. Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan membawa tiga permohonan yang dikemukakan oleh Thambirajah, ke mesyuarat Kabinet yang akan datang.

Kata beliau, tiga permohonan tersebut adalah meningkatkan bilangan pengambilan pelajar India dalam kursus pengajian penting di universiti awam; menawarkan lebih banyak tempat di universiti penyelidikan tempatan bagi golongan itu dan memperuntukkan biasiswa kepada pelajar India yang mendapat 4A ke atas.





0 comments:

Post a Comment

 
Top