BAGAN DATUK 18 Feb. – Hampir 150 penduduk di kawasan Parlimen Bagan Datuk menerima rawatan kesihatan umum, mata dan pergigian secara percuma menerusi Program Jiwa Murni Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Serbaguna Hutan Melintang di sini hari ini.
Program yang diadakan dengan kerjasama Belia 4B Bagan Datuk dan Kelab Komuniti dan Rekreasi (SRCC) Bagan Datuk itu dibawakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pegawai pengelola program itu yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Dr. Nik Mohamad Azli Nik Ariffin berkata, program hari ini menyaksikan penduduk daripada pelbagai peringkat usia datang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Menurutnya, sambutan memberangsangkan daripada masyarakat di sini itu bertepatan dengan matlamat program yang dianjurkan atas rasa keprihatinan Ahmad Zahid dalam aspek penjagaan kesihatan rakyat di sini.
“Menerusi program ini, Timbalan Perdana Menteri mahu mewujudkan kesedaran kepada masyarakat terhadap penjagaan kesihatan utama iaitu penjagaan dan rawatan gigi, mata dan kesihatan umum.
“Melalui program ini secara tidak langsung rakyat akan merasai sentuhan peribadi daripada Timbalan Perdana Menteri sendiri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Dr. Nik Mohamad Azli, selepas ini program yang sama akan bergerak ke 10 buah tempat di sekitar Hutan Melintang untuk memberikan rawatan dan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh kepada masyarakat di sini.
“Jadi saya berharap penduduk di sekitar kawasan Hutan Melintang khususnya tidak melepaskan peluang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma yang disediakan menerusi program ini,” katanya.
Home
»
»Unlabelled
» Program Jiwa Murni Penduduk Bagan Datuk dapat rawatan pemeriksaan percuma
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment