Menu
#



KUCHING 3 Feb. – Masyarakat Cina yang lahir di Sarawak tetapi tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan taraf warganegara kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju menu­buhkan pasukan petugas khas bagi membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu akan bekerjasama dengan agensi yang berkaitan di negeri ini untuk mengenal pasti individu yang layak diberikan status warganegara mengikut syarat-syarat termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Sarawak. 

Menurutnya, pasukan ber­kenaan akan mempunyai unit khas yang akan bergerak (turun padang) untuk mengenal pasti secara spesifik permasalahan kewarganegaraan masyarakat Cina di negeri ini. 

“Profesor Datuk Dr. Sim Kui Hian (Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak) memohon agar masalah ketiadaan warganegara membabitkan ma­syarakat Cina yang lahir dan menetap di Bumi Kenyalang diselesaikan kerana mengikut undang-undang, mereka layak menjadi rakyat Malaysia. 

“Saya memutuskan supaya sebuah unit khas dan bergerak ditubuhkan untuk menangani permasalahan kewarganegaraan dalam kalangan masyarakat berketurunan Cina di Sarawak. Isu ini akan ditangani secara spe­sifik oleh JPN Sarawak. 

“Kita (kementerian) telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyelesaikan masalah sama yang dihadapi oleh masyarakat pribumi termasuk Iban di Sarawak dan Sabah manakala di Semenanjung bagi menangani isu serupa untuk kaum India, Cina dan pelbagai kaum lain mengikut apa yang termaktub dalam Perlembagaan di bawah Perkara 191, 15A dan sebagainya,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri Majlis Ramah Tamah Tahun Baharu Cina 2017 Bersama Komuniti Cina di sini, hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. James Jemut Masing; Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat serta Menteri Kerajaan Tempatan negeri, Kui Hian. 

Terdahulu, Ahmad Zahid meluangkan masa kira-kira 30 minit berkunjung ke kediaman Kui Hian di Kenyalang Park di sini sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Dalam perkembangan lain, beliau turut berjanji akan membawa isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang tidak diiktiraf bagi tujuan kemasukan ke universiti awam memandangkan bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem begitu komited menyelesaikan masalah itu. 

“Saya faham pengiktirafan terhadap UEC adalah isu yang belum dapat diselesaikan dan kita tahu Allahyarhan Adenan komited menyelesaikan perkara ini apabila mengiktirafkan sijil itu di Sarawak,” katanya.




0 comments:

Post a Comment

 
Top