Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan mencalonkan Datin Mastura Mohd. Yazid untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar selepas kematian suaminya, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad pada 5 Jun tahun lalu dan terbaharu, Puan Sri Jamilah Anu pada PRK DUN Tanjong Datu, 18 Februari ini adalah dibuat berdasarkan kelayakan mereka.
Katanya, pencalonan yang dipersetujui sebulat suara oleh pucuk pimpinan BN negeri dan Pusat itu diputuskan selepas kajian teliti dijalankan.
“Kami sudah terlebih dahulu melakukan kajian secara teliti. Keputusan mencalonkan Jamilah bertanding mempertahankan kerusi dikosongkan oleh suaminya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di DUN Tanjong Datu misalnya kerana kita yakin beliau dapat diterima sebagai calon terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa hadir mengiringi Jamilah menghantar borang pencalonan di Dewan Masyarakat Lundu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, satu lagi tujuan memilih mereka adalah bagi meningkatkan jumlah wakil rakyat wanita di peringkat negeri dan Pusat.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi jaminan, semua program pembangunan yang dirancang di kawasan Tanjong Datu semasa Adenan masih hidup akan diteruskan pelaksanaannya di bawah pentadbiran Ketua Menteri baharu, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
“Saya rasakan PRK kali ini merupakan satu hikmah daripada Allah SWT bagi meneruskan legasi yang menjadi tradisi kepada BN, iaitu meneruskan pembangunan di Tanjong Datu”, katanya.
Home
»
»Unlabelled
» Pemilihan Balu Ganti Suami Bukan Trend
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment