Menu
#



PUTRAJAYA: Satu pasukan bertindak khas membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia ditubuhkan bagi menyelesaikan permasalahan penggajian pekerja asing, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Timbalan Perdana Menteri mengumumkan perkara itu pada sidang media selepas mesyuarat meja bulat bersama wakil Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), di sini hari ini. 

"Beberapa isu yang dibangkitkan NCCIM sudah dirujuk kepada pasukan bertindak khas ini dan saya memberi mereka masa 30 hari untuk selesaikannya. 

"Pada masa sama, kita perlu ada perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi memberi lebih keutamaan kepada tenaga kerja tempatan, meningkatkan automasi dalam operasi serta mewujudkan lebih ramai pekerja berkemahiran atau berkepakaran khusus. 

"Justeru, saya mengharapkan komitmen tinggi pihak industri untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menyelesaikan isu ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan. Hadir sama, timbalannya, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim. Pada mesyuarat itu, NCCIM diwakili Presidennya, Datuk Ter Leong Yap. 

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pihaknya khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiada halangan terhadap penganjuran Perhimpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Sabtu ini. Katanya, perhimpunan itu boleh diadakan kerana sudah mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berhak memberi keizinan menggunakan kemudahan awam berkenaan. 

Mengenai pengharaman khidmat teksi motosikal Dego Ride, Ahmad Zahid berkata Kabinet tetap dengan keputusan itu yang dibuat semalam selepas jemaah menteri mengambil kira penjelasan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.




0 comments:

Post a Comment

 
Top