Puan Sri Jamilah Anu yang dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu pada 18 Februari ini, tidak perlu turun padang untuk menyertai kempen pilihan raya kerana masih dalam tempoh idah selepas kematian suaminya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mengikut hukum fikah, mana-mana isteri yang kematian suami tidak boleh keluar rumah dalam tempoh tertentu kecuali keadaan darurat.
Sehubungan itu menurutnya, BN akan menggunakan kaedah seperti mana kempen untuk Datin Mastura Mohd. Yazid yang masih dalam tempoh idah semasa dicalonkan bertanding pada PRK Parlimen Kuala Kangsar, 5 Jun lalu selepas kematian suaminya, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad akibat nahas helikopter di Sarawak.
“Dalam keadaan sebegini, kita (BN) akan memberi panduan kepada beliau (Jamilah) tentang kaedah kempen mengikut hukum fikah sepenuhnya, namun jentera pilihan raya BN akan berkempen seperti biasa jika ada pertandingan nanti.
“Saya ingin nyatakan bahawa BN mempunyai pengalaman ketika kematian Datuk Wan Khair-il Anuar yang mana Datin Mastura dipilih menjadi calon, maka kaedah sama akan digunakan untuk kempen PRK DUN Tanjong Datu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Tahun Baharu Cina Bersama Jabatan Sukarelawan (Rela) Sarawak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri akan mengiringi Jamilah pada hari penamaan calon di Lundu, esok.
0 comments:
Post a Comment