DOHA, 4 Feb -- Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Qatar hari ini dilihat penting dalam memastikan hubungan baik kedua-dua negara diperkukuhkan serta mampu memberi kelebihan kepada syarikat Malaysia untuk terus merebut peluang ekonomi di negara itu.
Duta Besar Malaysia ke Qatar Datuk Ahmad Jazri Mohd Johar berkata lawatan empat hari ke negara terkaya dunia itu dijangka dapat merancakkan semula kerjasama ekonomi dan pelaburan kedua-dua negara dan mengekalkan hubungan baik sedia ada antara pemimpin tertinggi.
"Kunjungan timbalan perdana menteri ini pasti dapat membuka pintu peluang ekonomi dan pekerjaan di kalangan syarikat dan rakyat Malaysia serta membantu memudahkan rundingan kerjasama pelaburan yang ada," katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.
Ini adalah lawatan sulung Ahmad Zahid ke Qatar selepas memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2015.
Lawatan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri adalah atas jemputan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Qatar Sheikh Abdullah bin Nasser bin Khalifa Al Thani.
Timbalan perdana menteri serta isteri Datin Seri Hamidah Khamis serta delegasi dijangka tiba di sini pada pukul 11 malam ini waktu tempatan (4 pagi Ahad waktu Malaysia).
Ahmad Jazri berkata esok, Ahmad Zahid dijangka menghadap Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani dan kemudian membuat kunjungan ke atas Sheikh Abdullah.
Dalam lawatan empat hari berakhir 7 Feb ini, Ahmad Zahid juga akan melawat Pusat Kawalan Negara dan projek komuniti yang dirancang di Bandaraya Lusail, dan lapangan terbang antarabangsa Hamad serta bertemu diaspora Malaysia di Qatar.
Lawatan terakhir pemimpin tertinggi Malaysia ke Qatar dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Disember 2011.
Malaysia mula menjalin hubungan diplomatik dengan Qatar pada tahun 1974 dan hubungan dua hala itu diperkukuhkan dengan pembukaan pejabat kedutaan di sini pada Ogos 2004 dan disusuli pembukaan kedutaan Qatar di Kuala Lumpur pada September tahun yang sama.
Pada masa ini terdapat 5,000 rakyat Malaysia yang menetap di Qatar dengan kebanyakannya bekerja dengan syarikat penerbangan Qatar Airways, pendidikan serta dalam bidang industri minyak dan gas.
-- BERNAMA
Home
»
»Unlabelled
» Lawatan TPM Ke Qatar Rancakkan Kerjasama Ekonomi Dan Pelaburan Dua Negara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment