Menu
#



BEIJING 10 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka berbincang dengan pihak berkuasa China bagi mengadakan lebih banyak kerjasama dalam menangani isu-isu keselamatan termasuk inisiatif antikeganasan Malaysia melalui Pusat Komunikasi Counter-Messaging Digital Serantau yang ditubuhkan di Kuala Lumpur.

Duta Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya berkata, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengadakan perbinca­ngan dengan rakan sejawatannya, Menteri Keselamatan Awam China, Guo Shengkun malam ini sempena lawatan kerja selama enam hari ke negara itu.

“Lawatan kali kedua Timbalan Perdana Menteri ini adalah atas jemputan Shengkun. Lawatan pertama Timbalan Perdana Menteri telah diadakan pada 1 hingga 4 Februari 2016. Tujuan utama lawatan kerja ini adalah untuk memperkukuh lagi hubungan dua hala dan kerjasama erat yang sedia terjalin antara Malaysia dan China terutama dalam bidang keselamatan dan isu-isu berkaitan dengan pencegahan jenayah antarabangsa dan aktiviti keganasan serantau.

“Lawatan ini juga untuk meneruskan momentum pertukaran lawatan peringkat tertinggi antara kedua-dua negara susulan kejayaan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke China dari 31 Oktober hingga 5 November 2016 lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Zainuddin memaklumkan, kun­­jungan hormat oleh Timbalan Per­dana Menteri ke atas Perda­na Menteri China, Li Keqiang tidak dapat direalisasikan berikutan kesibukan diari kerja Per­­dana Menteri China itu.
Selain bertemu Shengkun mengenai isu-isu keselamatan yang lain seperti rangkaian jenayah antarabangsa serta jenayah siber, Ahmad Zahid akan mengadakan mesyuarat dengan Setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-Undang Pusat, Parti Komunis China, Meng Jianzhu esok.

Menurut Zainuddin, Timbalan Perdana Menteri akan ke Kunming di Wilayah Yunnan pada 13 Januari bagi bertukar-tukar pandangan dan membincangkan mengenai amalan terbaik wilayah tersebut dalam usaha memerangi jenayah keganasan dan radikalisasi serta isu-isu berkaitan penjara.

Semasa di Kunming, Ahmad Zahid akan mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Jabatan Keselamatan Awam dan Biro Pentadbiran Penjara bagi wilayah Yunnan, serta melawat Muzium Pengawalan Narkotik pada 14 Januari.

“Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri ke China ini amat penting dalam memastikan ke­sinambungan jalinan hubungan baik antara kepemimpinan ter­tinggi negara, agensi kerajaan, pihak swasta, komuniti perniaga­an dan antara rakyat kedua-dua negara diteruskan,” katanya.

Sementara itu, pesawat yang membawa Ahmad Zahid mendarat di lapangan terbang antarabangsa di sini pada 4.30 petang, dan sebaik tiba, beliau disambut Zainuddin.

Ahmad Zahid diiringi isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis dan para pegawai kanan kerajaan kementerian berkaitan.




0 comments:

Post a Comment

 
Top