Menu
#



BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata adalah mustahil untuk negara China menjajah Malaysia kerana pelaburan langsung asing (FDI) negara itu hanya 3.3 peratus daripada keseluruhan FDI diterima negara ini.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan FDI dari negara berkenaan sebaliknya akan membantu dan menolong pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa depan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ada mengadakan lawatan ke negara China, dan ada tuduhan mengatakan bahawa seolah-olah negara ini akan dijajah negara China, dan membeli maruah negara Malaysia.

“Tetapi, FDI China hanya 3.3 peratus daripada keseluruhan FDI Malaysia, mana boleh China nak ‘conquer’ kita,” katanya berucap pada majlis malam mesra Gong Xi Fa Cai di pekarangan Pusat Komersial Simpang Empat, Hutan Melintang di sini, malam ini.

Hadir sama, Pengerusi MCA Perak yang juga EXCO kerajaan negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon dan EXCO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, dalam lawatannya ke China baru-baru ini, pemerintah negara itu turut menunjukkan minat untuk melakukan FDI ke Bagan Datuk yang dinaik taraf sebagai daerah baharu di Perak.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut meminta rakyat negara ini menghargai keamanan yang dikecapi selama ini.

“Sama ada di pihak pembangkang, kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tiada makna menjadi negara maju atau melaksanakan pembangunan besar jika negara tidak aman.

“Jadi, keamanan ini perlu dipertahankan, kita tidak mahu ada gangguan, keadaan kucar-kacir agar negara terus aman supaya rakyat hidup sejahtera.

“Jika negara aman, semua orang tanpa mengira kaum dapat bergerak bebas, anak-anak kita mudah pergi belajar dan boleh meraikan apa sahaja perayaan dengan gembira,” katanya.


Pada majlis berasingan, Ahmad Zahid meminta masyarakat India mengambil contoh kejayaan mendiang MGR iaitu daripada seorang bintang filem menjadi ahli politik berjaya dan dikagumi sehingga akhir hayatnya.

Saya sendiri contohi prinsip-prinsip beliau. Saya cukup hormat ibu saya walaupun dia tiada Lagi. Setiap kali balik Bagan Datuk, saya tetap melawat kubur dia tanda hormat saya kepada dia.

MGR juga suka bantu orang susah. Saya pegang prinsip itu. Saya tetap bantu orang susah sama ada orang itu orang India, orang Cina atau orang Melayu.

Sebab saya anak kampung, saya tahu cara hidup anak kampung. Walaupun tinggi jawatan saya, saya tetap ingat dan akan bantu penduduk Bagan Datuk

Beliau berharap dapat melihat pemimpin masyarakat India yang memiliki sikap prihatin dan dedikasi MGR ketika menjadi Ketua Menteri sebuah negeri di India, dalam membantu masyarakat miskin.

“Ini bukan satu bentuk pemujaan individu tetapi mencontohi sikap universal yang ditunjukkan dalam aspek kemanusiaan sejagat,” katanya berucap pada program kebudayaan ‘Oli Vilaku Kalai Nigalcivy’ anjuran Peminat Bintang MGR kawasan Bagan Datuk di Dewan Sanmarka Sangam di sini.






0 comments:

Post a Comment

 
Top