Menu
#




BAGAN DATUK: Golongan profesional yang hafaz al-Quran didapati lebih bertakwa dan berdedikasi dalam tugasannya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, berkata kerajaan berhasrat melahirkan lebih ramai golongan berkenaan.

Jelas Zahid, ketika ini ada kira-kira 200 doktor perubatan daripada golongan yang hafaz al-Quran hasil daripada program dilaksanakan kerajaan sebelum ini. "Oleh itu, kita mahu lebih ramai golongan profesional seperti jurutera, arkitek, akauntan dan profesion lain daripada golongan huffaz (penghafaz al-Quran), " katanya berucap pada Majlis Iftar Jama'ie Bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Sekolah Menengah Agama Al-Ulum Alsyar'iyyah di sini, hari ini.

Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, beliau secara peribadi mahu ada dalam kalangan menteri Kabinet malah Perdana Menteri daripada golongan huffaz sebelum atau pada tahun 2050.

Jelas Zahid lagi, bahawa kerajaan menyasarkan kira-kira 125,000 penghafaz al-Quran pada tahun 2050 dan ia harus disokong oleh sekolah agama dan maahad tahfiz seluruh negara. Sehubungan itu, Zahid meminta umat Islam supaya mengutamakan perpaduan dan mengetepikan perbezaan kerana setiap kali ada persengketaan sesama umat Islam, akan ada pihak ketiga yang campur tangan dan 'mencurahkan minyak ke dalam api yang sedang marak.

Zahid berkata, pada akhirnya pihak ketiga yang memperoleh keuntungan dan gembira melihat umat Islam terus bersengketa. Pada majlis itu, Zahid turut meluluskan peruntukan RM100,000 bagi membeli sebuah van kegunaan sekolah agama berkenaan.



0 comments:

Post a Comment

 
Top