YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperkasakan penggunaan teknologi dan perkhidmatan secara dalam talian bagi membanteras unsur rasuah.
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata barisan hadapan jabatan itu yang berurusan dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga asing perlu mengurangkan aspek sentuhan kemanusiaan dengan berinjak kepada penggunaan teknologi daripada sistem konvensional.
Katanya larangan petugas Bahagian Pekerja Asing di Kementerian Dalam Negeri (KDN) berurusan secara bersemuka dengan mana-mana individu yang lazimnya menjadi perantara bagi urusan yang berkaitan pekerja asing dilihat berjaya membataskan unsur rasuah walaupun mendatangkan sedikit kesusahan.
"Pelaksanaan perkhidmatan secara dalam talian tidak bermakna JIM mengelak daripada berinteraksi dengan masyarakat tetapi langkah itu perlu diambil bagi membendung anasir rasuah," katanya ketika berucap pada majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jabatan Imigresen Malaysia-Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis IBR yang turut disaksikan secara serentak oleh semua pejabat JIM dalam dan luar negara melalui sidang video secara langsung itu ialah Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki.
Ahmad Zahid berkata pelaksanaan perkhidmatan secara dalam talian dan penggunaan teknologi juga mampu mempercepatkan proses permohonan yang sebelum ini terpaksa dibuat secara bersemuka dengan kakitangan di pejabat yang mungkin mengakibatkan kesesakan apabila pelanggan ramai.
Beliau juga mahu JIM meningkatkan kebolehpercayaan rakyat sebagai agenda utama daripada bergantung kepada kedudukan berdasarkan indeks rasuah yang dibuat hasil kajian imperikal oleh agensi penarafan antarabangsa.
Beliau menasihatkan warga JIM supaya bertekad menolak sebarang pemberian atas tujuan tertentu kerana pada akhirnya, habuan tersebut akan menjadi perangkap yang akan memerangkap diri sendiri.
Zahid turut memuji langkah, usaha dan pembaharuan yang dilakukan JIM sejak diketuai Mustafar apabila mula mengurangkan elemen sentuhan kemanusiaan dalam perkhidmatan tertentu seperti urusan mendapatkan dan memperbaharui pasport yang dilaksanakan secara dalam talian melalui MyOnline Pasport.
"Situasi di mana Imigresen sering dikaitkan dengan perbuatan negatif telah berubah selepas Datuk Seri Mustafar mengetuai JIM dan kita tahu dengan adanya beliau di sini yang datangnya dari SPRM, saya yakin beliau sendiri amat komited dalam sebarang usaha untuk membanteras rasuah," katanya.
Mustafar yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM dilantik ke jawatan itu pada Ogos tahun lepas.
0 comments:
Post a Comment