Ternyata cubaan dan usaha untuk melagakan Zahid dan Najib tidak menjadi kenyataan. Semua sedia maklum bahawa Wala' Taat setia Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Razak tetap utuh dan ikatan setiakawan yang terjalin sejak sekian lama. Kita sedia maklum sejak Zahid dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pelbagai cerita dan usaha untuk menjatuhkan beliau dirancang pelbagai pihak yang ternyata tidak mahu melihat kombinasi "Barisan Ampuh" dibina dalam pentadbiran Najib dan Zahid.
Sememangnya perkataan kontroversi tidak boleh dipisahkan daripada lipatan sejarah peribadi Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Dan bukannya semua pemimpin sanggup dilabelkan sebagai seorang yang kontroversi kerana perkataan itu lebih banyak mengandungi elemen negatif.
Apa sahaja yang dilakukan oleh Zahid akan mendapat perhatian dan setiap laungan atau kata-kata yang dikeluarkan, pasti akan mendapat respons sama ada yang positif ataupun negatif. Zahid bukanlah setahun jagung dalam permainan ini. Kata-kata yang pernah diluahkan oleh pihak lawan akan diterjemahkan dengan cara dan nada yang lain apabila Zahid pula yang bersuara.
Benarlah bagai dikata, pengalaman adalah sebaik baik guru. Dan dalam hal ini, Zahid sudah banyak makan garam dan melalui pelbagai rintangan dan dugaan, terutamanya ketika mula-mula mencipta nama ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO pada 1996 dahulu. Sepak terajang yang dilalui dalam dunia politik dilalui Zahid.
Beliau pernah dilabel sebagai 'orang itu' dan 'orang ini'. Namun hakikatnya beliau tidak pernah menumpang kejayaan dan populariti orang lain. Kejayaan Zahid adalah disebabkan oleh usaha beliau sendiri yang menunjukkan sifat kepemimpinan jitu sejak dahulu lagi.
Perhatikan sahaja bagaimana beliau menempa nama dalam perjuangan politiknya. Beliau melalui pelbagai proses, bertanding pelbagai jawatan dalam UMNO dan diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan. Beliau tidak pernah diberikan laluan mudah dan sudah merasai jatuh bangun sebagai seorang ahli politik.
Hubungan Kerja Sudah Lama
Sekarang, sekali lagi beliau berdepan dengan satu lagi fitnah, kononnya beliau berjumpa dengan bekas pemimpin UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad dan digambarkan seperti mempunyai niat untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak. Zahid bukanlah seorang insan yang sanggup menikam sahabat dari belakang dan jangan sekali-kali kita semua mempertikaikan kesetiaannya kepada Perdana Menteri.
Hubungan kerja antara Zahid dengan Najib sudah lama terjalin iaitu sejak beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Najib ketika Najib memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Pertahanan iaitu dari 1986 sehingga 1993. Itu sebabnya kesetiaan Zahid, jangan dipersoalkan.
Hari ini pihak lawan akan sentiasa memerhatikan apa yang dilakukan oleh Zahid. Sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam dunia politik, Zahid tahu segala usaha baik yang cuba dilakukan oleh dirinya dan pihak kerajaan umumnya akan dilenyapkan apabila timbulnya sesuatu yang lebih kontroversi.
Contohnya, barangkali mungkin ada yang masih ingat baru-baru ini Zahid menegaskan bahawa Pusat Sufi Sedunia akan ditubuhkan di sini sebagai pusat untuk menjalankan kajian dan menghimpunkan pandangan mengenai amalan itu, seterusnya menyebarkannya ke seluruh dunia. Zahid menjelaskan lagi bahawa ini adalah satu usaha yang baik untuk membantu membetulkan pandangan serong, prasangka dan prejudis terhadap agama Islam.
Namun belum sempat kita menilai secara mendalam akan usaha murni yang dilakukan ini, Zahid terus diserang bertubi-tubi oleh pihak lawan yang nampaknya tidak memberi peluang langsung kepada beliau. Ini semua adalah permainan seteru politik yang begitu cemburu melihat gandingan mantap Najib-Zahid yang pastinya dapat terus memberikan kekuatan dan semangat baharu kepada perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk berdepan pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Kombinasi Begitu Digeruni
Apa yang pasti, fitnah dan serangan terhadap Zahid serta Najib ini akan berterusan. Ini juga membuktikan bahawa kombinasi kedua pemimpin tertinggi ini begitu digeruni pihak lawan hingga sanggup menabur fitnah bagi mencerobohi benteng yang kukuh dibina dan sukar untuk ditembusi ini.
Zahid juga tahu yang setiap langkahnya akan diawasi dan setiap kata-katanya akan cuba digunakan oleh pihak lawan untuk menentangnya. Namun bagi Zahid, ini semua adalah permainan kotor pihak lawan yang semakin ketandusan idea untuk menjatuhkan beliau sebagai seorang pemimpin.
Wala’ Saya Untuk Najib - Zahid ( Persidangan Agung UMNO December 3, 2016)
YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan wala’nya kepada Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Najib Razak dihadapan perwakilan parti itu dan beliau tidak akan sesekali derhaka kepada ketuanya.
Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden itu berkata, usahlah cuba untuk ‘cucuknya’ kerana beliau tetap taat kepada pucuk pimpinan.
“Wala’ saya kepada beliau (Najib) tidak berbelah bahagi, pemimpin kita hanya seorang. (Datuk Seri) Presiden kita berbuat baik seperti mana Allah berbuat baik kepada kita.
“Datuk Seri (Najib), (Datuk Seri) Hishammuddin dan saya dua beradik. Jangan lagakan dua beradik ini, cukuplah.
“Kita ada seorang ketua, ketua kita pemimpin parti kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 (PAU2016) di PWTC.
Pada sesi itu juga Ahmad Zahid turut mengajak perwakilan bangun sebagai menyatakan taat setia kepada Presiden UMNO sambil melaungkan ‘Hidup Najib’.
Sebelum itu memulakan ucapannya, beliau menyampaikan seloka mengingatkan kepemimpinan parti supaya menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.
Saya Tidak Akan Tinggalkan PM Najib - TPM Zahid
YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan terus wala' dan berdiri teguh di belakang Perdana Menteri,YAB Datuk Seri Najib Razak, untuk menghadapi segala ujian.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Perdana Menteri terpaksa berdepan pelbagai fitnah dalam tugasnya mentadbir negara dan beliau sebagai orang nombor dua juga turut terkena tempiasnya.
"Saya Tidak Akan Tinggalkan Perdana Menteri Keseorangan Menghadapi Mehnah (ujian) Ini".
"Konsep wala' dan taat inilah yang saya terjemahkan. Perdana Menteri turut mengingatkan kita supaya tidak setia membuta tuli," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 - Fiqh Wala' dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara.
Zahid berkata, politik kini sudah menjadi medan fitnah dan maki serta berkonspirasi, bukan lagi untuk bermuafakat.
"Inilah realiti politik dan suasana mutakhir serta zaman ini. Masing-masing berusaha melepas diri dan seronok menyebar serta melayangkan fitnah," tegas Zahid.
0 comments:
Post a Comment