Menu
#




JERLUN: Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan atas faktor satu atau dua individu, sebaliknya atas usaha dan kerja keras pemimpin dan ahli akar umbi parti di negeri ini.

Perkara itu dinyatakan Naib Presiden UMNO, yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang percaya pihak yang mendakwa kemenangan itu atas faktor bekas pemimpin tertentu sebagai menghina pemimpin dan ahli parti.

"Ada orang kata Kedah dapat balik dekat UMNO sebab orang tu, atau sebab bapa orang tu... yakinlah kemenangan bukan sebab satu atau dua individu, tetapi sumbangan pemimpin UMNO di Kedah dan ahli akar umbi.

"Tolonglah jangan hina orang Kedah, sebab Kedah komited dan ada iltizam tinggi... orang Kedah mahu dihormati untuk melihat mercu BN terus diperkasa di negeri ini, bukannya kerana seseorang itu," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Jerlun, di sini.

Yang turut hadir ialah Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Abu Hasan Sarif dan Naib Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz.

Zahid pada masa sama menyokong hasrat warga Jerlun untuk tidak lagi menerima calon 'payung terjun' di kawasan itu, khususnya di kerusi Parlimen dalam PRU-14.

"Jerlun ni sering payung terjun... siapa mai pun, orang Jerlun undi kerja keras bagi menang, tetapi sabar ada hadnya... macam la orang Jerlun tak ada orang cerdik, ramai yang cerdik dan saya setuju 'Jerlun untuk orang Jerlun'.

"Di Jerlun ada calon payung terjun jadi wakil rakyat DUN (Dewan Undangan Negeri), lepas tu jadi MB (Menteri Besar)... dulu dia calon payung terjun, sekarang dia sendiri terjun," katanya.

Beliau pada masa sama menzahirkan rasa gembira mengenai kedudukan Jerlun yang memiliki 167 cawangan UMNO, tidak tergugat walaupun berdepan serangan luar.

Terdahulu, Abu Hasan membangkitkan status kerusi di Parlimen Jerlun yang menerima empat calon payung terjun antara tempoh 1974 hingga 2008, termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang kini bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Parlimen Jerlun mempunyai dua kerusi DUN iaitu Ayer Hitam yang dimenangi Mukhriz dan Kota Seputih yang dimenangi Abu Hasan.



0 comments:

Post a Comment

 
Top