Menu
#




Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan menghantar pulang ke Pyongyang 50 pekerja Korea Utara di Sarawak yang telah tamat tempoh permit kerja masing-masing.

Menurut beliau, semua pekerja itu kini ditahan di depoh tahanan sementara di Sarawak selepas pendakwaan dilakukan terhadap mereka kerana berada di negara ini walaupun telah tamat permit kerja.

“Kesemua mereka akan dihantar pulang sebaik sahaja proses dokumentasi selesai dilakukan. Oleh sebab Akta Imigresen di Sarawak adalah berbeza dengan Akta Imigresen sedia ada, saya telah adakan perbincangan dengan Ketua Menteri Sarawak (Datuk Abang Johari Openg) dan keputusan ini akan saya sampaikan secara rasmi kepada beliau (Abang Johari) hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, pada masa ini terdapat 315 warga Korea Utara di negara ini.

Katanya bagi rakyat negara itu yang mempunyai visa dan permit kerja yang sah, mereka masih dibenarkan berada di negara ini.

Ahmad Zahid berkata kesemua 191 rakyat Korea Utara yang terlibat dalam program Malaysia My Second Home (MM2H) juga terus dibenarkan tinggal di negara ini.

Dalam perkembangan lain, timbalan perdana menteri mengesahkan bahawa mayat Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un yang kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sudah diawet bagi mengelak ia menjadi reput.

“Ya. Usaha pengawetan telah dilakukan kerana jika mayat itu disimpan di bilik mayat yang biasa, maka dikhuatiri berlaku reput dan dalam keadaan itu maka tindakan untuk memgawet mayat itu telah dilakukan,” katanya.

Menurut beliau, proses pengawetan dilakukan di lokasi lain namun mayat itu kemudiannya dibawa kembali dan ditempatkan di HKL.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu proses rundingan dengan Pyongyang, beliau meminta pihak media agar memberi ruang kepada Kementerian Luar untuk melakukan tugas mereka.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan kes pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lepas.

Jong-nam didakwa dibunuh oleh dua wanita warganegara asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX sebelum beliau sempat menaiki pesawat ke Macau.

Beliau yang memasuki Malaysia menggunakan pasport tertera nama Kim Chol meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Ketegangan Kuala Lumpur-Pyongyang timbul setelah duta Korea Utara Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas serta menghina Malaysia berhubung pengendalian kes pembunuhan itu.

Pada 7 Mac lepas, Pyongyang melarang rakyat Malaysia daripada meninggalkan Korea Utara dan Malaysia mengambil tindakan sama ke atas rakyat Korea Utara di negara ini.




0 comments:

Post a Comment

 
Top