Menu
#



Mayat Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un yang kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sudah diawet bagi mengelak ia menjadi reput.

Perkara tersebut disahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

“Ya. Usaha pengawetan telah dilakukan kerana jika mayat itu disimpan di bilik mayat yang biasa, maka dikhuatiri berlaku reput dan dalam keadaan itu maka tindakan untuk memgawet mayat itu telah dilakukan,” katanya.

Menurut beliau, proses pengawetan dilakukan di lokasi lain namun mayat itu kemudiannya dibawa kembali dan ditempatkan di Insitut Perubatan Forensik Negara HKL.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu proses rundingan dengan Pyongyang, beliau meminta pihak media agar memberi ruang kepada Kementerian Luar untuk melakukan tugas mereka.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan kes pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lepas.

Jong-nam didakwa dibunuh oleh dua wanita warganegara asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX sebelum beliau sempat menaiki pesawat ke Macau.

Beliau yang memasuki Malaysia menggunakan pasport tertera nama Kim Chol meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Ketegangan Kuala Lumpur-Pyongyang timbul setelah duta Korea Utara Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas serta menghina Malaysia berhubung pengendalian kes pembunuhan itu.

Pada 7 Mac lepas, Pyongyang melarang rakyat Malaysia daripada meninggalkan Korea Utara dan Malaysia mengambil tindakan sama ke atas rakyat Korea Utara di negara ini.




0 comments:

Post a Comment

 
Top