Menu
#



Pegawai penguat kuasa dan anggota keselamatan di kawasan sempadan negara ditukarkan lebih kerap bagi mengelak mereka terlibat dengan kegiatan rasuah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tindakan itu diambil untuk memastikan mereka tidak terlibat dengan pihak tempatan dan penyeludup bagi mengelak jenayah sempadan termasuk pemerdagangan manusia.

"Kami telah lakukan tindakan, pegawai ditukarkan lebih kerap lagi agar mereka tidak lakukan 'engagement' (terlibat) dengan pihak tempatan serta para penyeludup dan para pemerdagangan manusia.

"Bila pertukaran lebih kerap (dibuat), pemantauan juga lebih efektif," katanya pada sesi pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang bertanya mengenai tindakan berhubung dakwaan bahawa 80 peratus pegawai penguat kuasa sempadan dan anggota keselamatan terlibat rasuah sempadan sehingga berlakunya kebolosan.

Nurul Izzah mendakwa kegiatan rasuah itu didapati berlaku hasil risikan pihak tertentu.

Ahmad Zahid menegaskan kerajaan memandang serius dakwaan tentang anggota keselamatan sempadan terlibat dalam rasuah.

"Terdapat kes-kes sekarang ini, tetapi kecil. Bagaimanapun, kami memandang serius perlakuan yang tidak baik ini dari segi imej dan perundangan," katanya.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan dengan memobilisasikan Pasukan Gerakan Am dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan kawalan di sempadan berbanding sebelum ini.

Kira-kira 10,000 pegawai Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal sempadan negara pada masa ini, katanya.




0 comments:

Post a Comment

 
Top