Menu
#




Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf Masjid Khairiah, Kampung Sayong Lembah di sini.

Peruntukan itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap dalam program Penerapan Nilai Murni Ramadan Al-Mubarak di masjid tersebut malam tadi.



Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, beliau telah didatangi ahli jawatankuasa masjid itu dan memohon bantuan kewangan sebanyak RM2.5 juta bagi menaik taraf masjid berkenaan.



“Ahli jawatankuasa masjid minta RM2.5 juta, namun saya luluskan RM3 juta. Saya fikir walaupun permintaannya hanya RM2.5 juta sahaja namun kami merasakan jumlah itu tidak cukup,” katanya.



Terdahulu, Ahmad Zahid bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Ahmad Puhat Mat Nayan menunaikan solat Isyak dan tarawih bersama jemaah di masjid berkenaan dengan diimamkan dua imam dari Mekah, Sheikh Dr. Idris Ismail Al-Misrafi dan Sheikh Mohammad Iqbal.

 Yang turut hadir, dua anak calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd. Yazid iaitu Wan Emir Astar dan Wan Iskandar.



Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, dalam menegakkan syiar Islam, bangunan secara lahiriah bukan sahaja penting malah mengimarahkan masjid itu dengan melakukan pengisian bagi memberi penghayatan kepada masjid juga amat dititik beratkan. Katanya, bulan Ramadan perlu digunakan sebaik mungkin bagi menghidupkan masjid dengan pelbagai program dan bukan sekadar tarawih.



“Ingin saya ingatkan supaya gunakan Ramadan sebagai sekolah dan madrasah untuk melatih sahsiah. Ini supaya apabila Ramadan tamat, amalan-amalan baik dapat diteruskan selepas itu.



“Begitu juga orang politik, jika dapat menjaga mulut semasa bulan Ramadan maka kita akan dapat menjaga mulut, hati dan pemikiran selepas Ramadan,” katanya.

 Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan daripada Bank Rakyat kepada 200 asnaf dan sebuah van jenazah serbaguna yang diminta Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khai-il Anuar Wan Ahmad dua minggu sebelum terlibat nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.






0 comments:

Post a Comment

 
Top